Maryam – 019

Surah Maryam (سورة مريم) adalah surah ke-19 dalam Al Qur’an. Surah ini terdiri atas 98 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah kerana hampir seluruh ayatnya diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah, bahkan sebelum sahabat-sahabat beliau hijrah ke negeri Habsyah. Menurut riwayat Ibnu Mas’ud, Ja’far bin Abi Thalib membacakan permulaan surah Maryam ini kepada raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya pada waktu dia turut serta hijrah bersama-sama sahabat-sahabat yang lain ke negeri Habsyah.

Surah ini dinamai Maryam, kerana surah ini mengandungi kisah Maryam (atau Maria dalam agama kristian), ibu Nabi Isa a.s.. Surah ini menceritakan kelahiran yang ajaib, dimana Maryam melahirkan Isa A.S. sedang belum mengahwini dengan mana-mana laki-laki. Kelahiran Isa A.S. tanpa ayah, merupakan suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Pengutaraan kisah Maryam sebagai kejadian yang luar biasa dan ajaib dalam surah ini, diawali dengan kisah kejadian ajaib lainnya, iaitu dikabulkannya doa nabi Zakaria a.s. oleh Allah SWT, dimana ia ingin dianugerahi seorang putera sebagai pewaris dan pelanjut cita-cita dan kepercayaannya, sedang usianya sudah sangat tua dan isterinya adalah wanita yang mandul.

Taahaa – 020

Surah Taahaa (سورة طه) adalah surah ke-20 dalam Al Qur’an. Surah ini terdiri atas 135 ayat, diturunkan setelah Surah Maryam dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Surah ini dinamai Thaahaa, diambil ayat pertama surat ini. Sebagaimana juga yang lazim terdapat pada surah-surah yang memakai huruf-huruf abjad pada permulaannya, di mana huruf tersebut seakan-akan merupakan pemberitahuan Allah kepada orang-orang yang membacanya, bahawa sesudah huruf itu akan dikemukakan hal-hal yang sangat penting diketahui, maka demikian pula halnya dengan ayat-ayat yang terdapat sesudah huruf thaahaa dalam surat ini. Allah menerangkan bahawa Al Quran merupakan peringatan bagi manusia, wahyu dari Allah, Pencipta semesta alam. Kemudian Allah menerangkan kisah beberapa orang nabi; akibat-akibat yang telah ada akan dialami oleh orang-orang yang percaya kepada Allah dan orang-orang yang mengingkari-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.

Al-Anbiyaa’ – 021

Surah Al Anbiyaa’ (سورة الأنبياء) adalah surah ke-21 dalam Al Qur’an. Surah yang terdiri atas 112 ayat ini termasuk golongan surah Makkiyyah. Nama al anbiyaa’ (bahasa arab:nabi-nabi) digunakan kerana surah ini mengutarakan kisah beberapa orang nabi. Permulaan surah Al Anbiyaa’ menegaskan bahawa manusia lalai dalam menghadapi hari hisab, kemudian berhubung adanya pengingkaran kaum musyrik Mekkah terhadap wahyu yang dibawa Nabi Muhammad SAW. maka ditegaskan Allah, senkali pun nabi-nabi itu manusia biasa, akan tetapi masing-masing mereka adalah manusia yang membawa wahyu yang pokok ajarannya adalah tauhid, dan keharusan manusia menyembah Allah, Tuhan Penciptanya. Orang yang tidak mahu mengakui kekuasaan Allah dan mengingkari ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi itu, akan diazab Allah didunia dan di akhirat nanti. Kemudian dikemukakan kisah beberapa orang nabi dengan umatnya. Akhirnya surah itu ditutup dengan seruan agar kaum musyrik Mekah percaya kepada ajaran yang dibawa Muhammad SAW supaya tidak mengalami apa yang telah dialami oleh umat-umat yang dahulu.

Al-Hajj – 022

Surah Al Hajj (سورة الحج) adalah surah ke-22 dari Al Qur’an dan terdiri dari 78 ayat. Sebahagian ayat dari surah ini diturunkan di Mekkah dan sebahagian lagi di Madinah, oleh sebab demikian, para ahli tafsir berselisih pendapat mengenai golongan surah ini sama ada (Makkiyah atau Madaniyah)

Surah ini dinamai surah Al Hajj, kerana surah ini mengemukakan hal-hal yang berhubungan dengan ibadah haji, seperti ihram, tawaf, sa’i, wuquf di Arafah, mencukur rambut, syiar-syiarAllah, faedah-faedah dan hikmah-hikmah disyar’atkannya haji. Ditegaskan pula bahawa ibadat haji itu telah disyariatkan pada masa Nabi Ibrahim a.s., dan Ka’bah didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama puteranya Nabi Ismail a.s.

Menurut Al Ghaznawi, surah Al Hajj termasuk di antara surah- surah yang ajaib, diturunkan pada malam dan pada siang hari, dalam musafir dan dalam keadaan tidak musafir, ada ayat-ayat yang diturunkan di Mekah dan ada pula yang diturunkan di Madinah, isinya ada yang berhubungan dengan peperangan dan ada pula yang berhubungan dengan perdamaian, ada ayat-ayatnya yang muhkam dan ada pula yang mutasyabihaat.

Al-Mu’minun – 023

Surah Al Mu’minuun (سورة المؤمنون) adalah surah ke-23 dari Al-Quran, surah ini terdiri atas 118 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Dinamai Al Mu’minuun, kerana permulaan ayat ini manerangkan bagaimana seharusnya sifat-sifat orang mukmin yang menyebabkan keberuntungan mereka di akhirat dan ketenteraman jiwa mereka di dunia. Demikian tingginya sifat-sifat itu, hingga ia telah menjadi akhlak bagi Nabi Muhammad s.a.w.

An-Nuur – 024

Surah al-Nur[1] (سورة النّور) adalah surah ke-24 dari Al Qur’an. Surah ini terdiri atas 64 ayat, dan termasuk golongan surah-surah Madaniyah. Dinamai An Nuur yang bererti Cahaya yang diambil dari kata An Nuur yang terdapat pada ayat ke 35. Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menjelaskan tentang Nuur Ilahi, iaitu Al Quran yang mengandungi petunjuk-petunjuk. Petunjuk-petunjuk Allah itu, merupakan cahaya yang terang benderang menerangi alam semesta. Surah ini sebahagian besar isinya memuat petunjuk- petunjuk Allah yang berhubungan dengan soal kemasyarakatan dan rumah tangga.

Al-Furqaan – 025

Surah Al Furqaan (سورة الفرقان) adalah surah ke-25 dari Al Qur’an. Surah ini terdiri atas 77 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makkiyah. Dinamai Al Furqaan yang bererti pembeza, diambil dari kata Al Furqaan yang terdapat pada ayat pertama surat ini. Yang dimaksud dengan Al Furqaan dalam ayat ini ialah Al Quran (lihat nama lain Al Qur’an). Al Quran dinamakan Al Furqaan kerana dia membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka pada surah ini pun terdapat ayat-ayat yang membezakan antara kebenaran keesaanAllah s.w.t. dengan kebatilan kepercayaan syirik.

Asy-Syu’araa – 026

Surah Asy-Syu’araa’ (سورة الشعراء) adalah surah ke-26 dari Al Qur’an. Surah ini terdiri dari 227 ayat termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Dinamakan Asy Syu’araa (kata jamak dari Asy Syaa’ir yang berarti penyair) diambil dari kata Asy Syuaraa’ yang terdapat pada ayat 224, iaitu pada bahagian terakhir surah ini, di kala Allah s.w.t. secara khusus menyebutkan kedudukan para penyair Arab di zaman jahiliyah. Para penyair-penyair itu mempunyai sifat-sifat yang jauh berbeza dengan para rasul-rasul; mereka diikuti oleh orang-orang yang sesat dan mereka suka memutar belitkan lidah dan mereka tidak mempunyai pendirian, perbuatan mereka tidak sesuai dengan tidak mempunyai pendirian, perbuatan mereka tidak sesuai dengan apa yang mereka ucapkan. Sifat-sifat yang demikian tidaklah sekali-kali terdapat pada rasul-rasul. Oleh sebab demikian, tidak patut Nabi Muhammad s.a.w. dituduh sebagai penyair dan Al Quran dituduh sebagai syair kerana Al Quran adalah wahyu Allah dan bukan buatan manusia.

An-Naml – 027

Surah An-Naml (سورة النّمل) adalah surah ke-27 dalam Al Qur’an. Surah ini terdiri atas 93 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah dan diturunkan sesudah Surah Asy-Syu’araa. Dinamai dengan An Naml yang bererti semut, kerana pada ayat 18 dan 19 terdapat perkataan An-Naml (semut), di mana raja semut mengatakan kepada anak buahnya agar masuk ke dalam sarangnya masing-masing, supaya mereka tidak terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan angkatan tenteranya yang akan melewati tempat itu. Mendengar perintah raja semut kepada anak buahnya itu, Nabi Sulaiman tersenyum dan takjub atas keteraturan kerajaan semut itu dan beliau mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa yang telah melimpahkan nikmat kepadanya berupa kerajaan, kekayaan, memahami ucapan-ucapan binatang, mempunyai tentera yang terdiri atas jin, manusia,burung dan sebagainya. Nabi Sulaiman a.s. yang telah diberi Allah nikmat yang besar itu tidak merasa takabur dan sombong dan sebagai seorang hamba Allah, baginda memohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh.


ke Atas