As-Saaffat – 037

Surah As-Saaffaat (سورة الصافات) adalah surah ke-37 dalam Al Quran. Surah ini terdiri atas 182 ayat dan termasuk golongan surat Makkiyyah serta diturunkan selepas surah Al An’aam. Dinamai dengan As Saaffaat (yang berbaris) diambil dari perkataan serupa yang terletak pada ayat permulaan surat ini yang menceritakan bagaimana para malaikat yang bersih jiwanya berbaris di hadapan Tuhannya dimana mereka tidak dapat digoda olehsyaitan.

Saad – 038

Surah Saad (سورة ص) adalah surah ke-38 dalam Al-Quran (kitab suci agama Islam). Surah yang terdiri atas 88 ayat ini termasuk golongan surah Makkiyyah dan diturunkan sesudahSurah Al-Qamar. Dinamai dengan Saad kerana surah ini dimulai dengan huruf Shaad.

Az-Zumar – 039

Surah Az-Zumar (سورة الزمر) ialah surah ke-39 dalam Al-Quran. Surah ini diturunkan diMakkah, mengandungi 75 ayat. Dinamakan “Az-Zumar” (Kumpulan manusia yang berpasuk-pasuk), kerana pada ayat- ayat 71-73 ada disebutkan perihal orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir yang dibawa “berpasuk-pasuk” untuk menerima balasan masing-masing.

Al-Mu’min – 040

Surah Al-Mu’min (سورة المؤمن) atau Surah Ghafir (سورة غافر) adalah surah ke-40 dalam Al-Quran, kitab suci agama Islam. Surah ini terdiri atas 85 ayat, termasuk golongan surah-surah Makkiyyah. Surah yang diturunkan sesudah Surah Az-Zumar ini dinamakan Al-Mu’min (Orang yang beriman), berhubung dengan kata mukmin yang terdapat pada ayat 28 surah ini. Dinamakan pula Ghafir (yang mengampuni) diambil dari ayat ke-3 surah ini. Pada ayat ke-28 diterangkan bahawa salah seorang dari kaum Fir’aun telah beriman kepada Nabi Musa. Dengan menyembunyikan imannya kepada kaumnya, setelah mendengar keterangan dan melihat mukjizat yang dikemukakan oleh Nabi Musa.

Fussilat – 041

Surah Fussilat adalah surat ke-41 dalam Al Quran (kitab suci agama Islam). Surah ini terdiri atas 54 ayat dan termasuk golongan surat-surat Makkiyyah. Surat yang diturunkan sesudah Surah Al-Mu’min ini dinamai “Fushshilat” (yang dijelaskan) diambil dari perkataanFushshilat yang terdapat pada permulaan surat ini.

Asy-Syuraa – 042

Surah Asy-Syuraa (سورة الشورى) diturunkan di Makkah, merupakan surah yang ke-42 dalam al-Quran, mengandungi 53 ayat. Dinamakan surah “Asy-Syura” (Mesyuarat), kerana pada ayat 38 ada diterangkan bahawa di antara sifat-sifat orang-orang yang beriman yang terpuji dan diredhai Allah Taala ialah amalan mereka bermesyuarat sesama sendiri apabila mereka hendak menjalankan sesuatu urusan.

Az-Zukhruf – 043

Surah Az-Zukhruf (سورة الزخرف) diturunkan di Makkah, merupakan surah yang ke-43 dalam Al-Quran dalam juzuk yang ke-25, mengandungi 89 ayat. Dinamakan “Az-Zukhruf” (Perhiasan), kerana pada ayat 35 dan ayat-ayat yang terdahulu daripadanya diterangkan perihal kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad (s.a.w.). Mereka mengatakan: sepatutnya jawatan Nabi itu diberikan kepada seorang besar yang kaya raya dan berpengaruh. Bagi menolak hujjah mereka, Allah Taala menerangkan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak boleh dijadikan ukuran bagi darjat seseorang, kerana segala kekayaan dan perhiasan dari emas dan lain-lainnya itu hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia sebaliknya kesenangan hari akhirat di sisi hukum Allah adalah tertentu bagi orang-orang yang bertaqwa.

Ad-Dukhaan – 044

Surah ad-Dukhaan (سورة الدخان) ialah surah ke-44 dalam al-Quran. Surah ini diturunkan diMakkah, mengandungi 59 ayat. Dinamakan surah “Ad-Dukhaan” (Asap/Kabut), kerana pada ayat 10 dan ayat-ayat yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya, Allah S.w.t. memberi amaran kepada kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad s.a.w.bahawa mereka akan ditimpa azab sengsara: “semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata” (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat).

Al-Jatsiyah – 045

Surah Al-Jatsiyah (سورة الجاثية) adalah surah ke-45 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah yang terdiri atas 37 ayat. Dinamakan Al-Jasiyah yang bererti Yang Berlutut diambil dari perkataan Jaatsiyah yang terdapat pada ayat 28 surah ini. Ayat tersebut menerangkan tentang keadaan manusia pada hari kiamat, iaitu semua manusia dikumpulkan ke hadapan mahkamah Allah Yang Maha Tinggi yang memberikan keputusan terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan di dunia. Pada hari itu semua manusia berlutut di hadapan Allah. Dinamai juga dengan Asy Syari’ah diambil dari perkataan Syari’ah yang terdapat pada ayat 18 surah ini.


ke Atas